Wednesday, 29 February 2012

Tengku Menteri Ngah Ibrahim Bin Long Jaafar

Tengku Menteri Ngah Ibrahim (duduk) diapit oleh anaknya Wan Mohd Isa (kanan) dan Wan Mat Nasir (kiri) dan dibelakang mereka ialah pengawal polis India yang dipimpin oleh Kapten Speedy



Biografi Ringkas.
Tengku Menteri Ngah Ibrahim Bin Long Jaafar Larut merupakan salah seorang jutawan melayu terawal abad ke 19, pahlawan dan pejuang kemerdekaan terawal, intelektual, pemikir dan seorang yang berwawasan jauh dalam membangukan ekonomi bangsanya pada saat penjajah Inggeris sentiasa berusaha menjatuhkannya dengan pelbagai taktik dan strategi.

Tarikh Dan Tempat Lahir.

Ngah Ibrahim Bin Long Jaafar dilahirkan pada tahun 1837. Ada yang mengatakan 1836 dan ada yang mengatakan pada tahun 1840. Beliau dilahirkan di kawan Bukit Gantang. Kawasan Bukit gantang merupakan daerah pemerintahan bapanya, Long Jaafar pada zaman kegemilangannya sehingga terdiri Kota Long Jaafar disitu.

Susur Galur Keturunan Ngah Ibrahim.

Ngah Ibrahim merupakan anak hasil perkahwinan Long Jaafar Bin Dato’ Paduka Setia Long Abdul Latif dengan Che Ngah Pura Binti Dato’ Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Alang Alaidin. Menurut salasilah yang terdapat di Kompleks Sejarah Matang (dahulunya Kota Ngah Ibrahim), keturunan nya sehingga kepada Tun Saban Balik Bin Tun Perak, anak kepada Tun Perak iaitu Bendahara Melaka. Tengku Menteri Ngah Ibrahim pernah dijadikan anak angkat dan diakui sebagai saudara Raja Abdullah (kemudiannya Raja Muda dan Sultan Perak, 1874-1876) oleh Sultan Jaafar.

Ngah Ibrahim dibesarkan di Kota Bukit Gantang bersama-sama abangnya Kulop Seman atau Kulop Sulaiman dan adiknya Cik Alang Sepiah. Selaku anak seorang usahawan dan pengusaha pelombong bijih timah, ahli perniagaan dan pengutip cukai yang kaya raya pada abad ke 19, Beliau dijadikan anak angkat oleh Sultan Jaafar Mu’azzam Shah-Marhum Waliullah (Sultan Perak ke-23). http://sultan.perak.gov.my/bahasa/jaafar_muazzam.htm

Semasa hayatnya  Tengku Menteri Ngah Ibrahim berkahwin dengan Toh Puan halimah Binti Dato’ Laksamana Mohd Amin Alang Duakap. Perkahwinan ini telah menghasilkan dua orang anak iaitu Wan Mohd Isa ( pemegang gelaran Tengku Menteri Ke-2 ) dan Wan Mat Nasir. Tengku Menteri Ngah Ibrahim berkahwin dengan Che Nesah sebagai isteri kedua dan memperolehi seorang anak bernama Wan Yeop Abdul Shukor. Beliau berkahwin dengan Sa’eah sebagai isteri ketiga dan memperoleh seorang anak bernama Wan Supiah.